Thursday, February 3, 2011

2011_Year of The Rabbit






Tahun arnab yang disambut pada hari ini oleh masyarakat Cina di seluruh dunia dianggap sebagai tahun yang memberi tuah kepada perkembangan taraf hidup dan sosioekonomi dunia. Menurut kalendar masyarakat Cina yang sempat saya teliti sebelum menulis blog ini, tahun 2011 merupakan Tahun Arnab yang berasal dari jenis Arnab Logam, iaitu suatu petanda yang amat baik kepada ekonomi.

Walau apapun istilah atau tafsiran yang diberi, sebagai warganegara yang hidup dalam keadaan yang pelbagai kaum di Malaysia atau di mana jua negara, perayaan ini wajar disambut dengan harmoni selaras harapan ingin membentuk masyarakat serumpun yang aman dan bersatu padu.

Masyarakat Cina merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang penting dalam menjana keluhuran dan kesepaduan ummah. Saya amat meneliti  ekonomi masyarakat Cina umumnya berada dalam keadaan yang memberangsangkan. Tetapi perlu diingat bahawa kaum-kaum lain pun boleh berjaya jika adanya iktikad dan semangat yang jitu untuk mencapai matlamat jangka panjang dalam hidup.

Kita wajar mencontohi semangat yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina yang memperlihatkan hasil kerja yang bermutu dan usaha yang bersungguh-sungguh dalam apa jua yang dilakukan. Hati tetap tertanya-tanya, bilakah Melayu akan sedar bahawa mereka perlu berusaha untuk berjaya.

Sikap prejudis terhadap kaum yang berbeza perlu disingkir. Kita tidak akan berjaya jika sikap buruk tersebut menguasai diri. Ingatlah bahawa semua kaum boleh mencipta sejuta kejayaan di bumi bertuah ini, jika disertai dengan semangat dan usaha yang pragmatik.

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakan-rakan, guru dan warga yang sentiasa bersama saya dalam melayari bahtera hidup mengemudi lautan bergelora menuju sinar bahagia. Amalkan kunjung-mengunjungi sahabat dan rumah-rumah terbuka sempena Tahun Baharu ini, moga persaudaraan yang terjalin kekal erat dalam ikatan perpaduan yang luhur.

Ahmad Syafiq Amir
03-02-2011
Malaysia.

No comments:

Post a Comment